Friday, July 29, 2016

Peluang lagi .. Luasnya Bidang Perakaunan...

Salam kasih sayang...

Satu peluang buat semua yang berminat dan berpotensi dalam bidang perakaunan. Siapa kata bidang perakaunan tidak penting? Cuba belajar dulu baru lah tau di mana pentingnya... 

Apa pun minat kita.. jom belajar ilmu akaun 😘😘😘.. kita mesti tahu apa itu belanja, hasil, aset, liabiliti dan ekuiti.. 


KUALA LUMPUR 21 Julai - Pusat Perakaunan Profesional Malaysia (MyPAC) yakin sasaran meningkatkan jumlah akauntan bertauliah bumiputera sebanyak 18,000 daripada hanya 1,600 orang ketika ini menjelang 2020 mampu dicapai menerusi program intervensi yang dilakukan secara proaktif.


Ketua Pegawai Eksekutif MyPAC, Datuk Zaiton Mohd. Hassan berkata, bagi mencapai hasrat melahirkan lebih ramai akauntan bumiputera bertauliah, MyPAC yang ditubuhkan tahun lalu telah bekerjasama rapat dengan beberapa penyedia perkhidmatan latihan dan rakan teknikal untuk memastikan bahawa ia berjaya mencapai objektif penubuhannya.


Beliau berkata, ketika ini terdapat tiga penyedia perkhidmatan yang memberikan latihan kepada mereka yang berminat untuk mengambil kursus perakaunan profesional Akauntan Bertauliah Berkanun (ACCA) iaitu pusat akauntan profesional (iPAC) di bawah kendalian UiTM Holdings Bhd., Universiti Tun Abdul Razak (UNITAR) Academy dan BPP Professional Education.


Menurut beliau, iPAC telah menerima kira-kira 352 pendaftaran bagi pelajar lepasan SPM yang berminat untuk menyambung pengajian dalam bidang perakaunan.


“Jumlah ini dilihat agak tinggi berbanding tahun lalu dan ini adalah hasil usaha warga kerja MyPAC yang bertungkus-lumus memberi maklumat dan pendedahan kepada murid-murid sekolah serta ibu bapa tentang prospek pekerjaan dalam bidang ini,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.


Oktober tahun lalu, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Abdul Wahid Omar berkata, hanya lapan peratus daripada kira-kira 32,000 akauntan bertauliah di negara ini terdiri daripada bumiputera dan angka itu diakui kerajaan sebagai amat membimbangkan kerana tidak mencerminkan komposisi kaum di Malaysia.


Oleh itu, lebih banyak pendedahan perlu diberikan kepada penuntut bumiputera dalam jurusan perakaunan bagi menggalakkan mereka menceburi profesion tersebut pada masa depan.


Beliau berkata, ini selaras dengan agenda pembangunan bumiputera dan matlamat kerajaan yang menyasarkan untuk meningkatkan jumlah akauntan profesional bumiputera kepada 18,000 orang menjelang tahun 2020.


Justeru katanya, MyPAC menerusi program intervensi yang akan dilakukan secara proaktif berperanan meningkatkan jumlah akauntan bertauliah bumiputera, sekali gus mencapai jumlah akauntan bertauliah dalam negara sebanyak 60,000 pada 2020.


Tambah Zaiton, banyak faktor yang menyebabkan kurangnya penglibatan bumiputera dalam bidang perakaunan, antaranya tahap pendedahan rendah, selain jurusan ini memerlukan pengetahuan tinggi dalam pengurusan nombor dan kefasihan berbahasa Inggeris.


Disebabkan faktor itu ujar beliau, ramai penuntut bumiputera kurang berminat menceburi bidang perakaunan sedangkan akauntan merupakan profesion yang akan mendapat permintaan tinggi pada masa depan.


- See more at: http://m.utusan.com.my/bisnes/ekonomi/sasar-18-000-akauntan-bertauliah-bumiputera-1.356302#sthash.Oz8HAaPn.dpuf

Permulaan Sesi Akademik 2022/2023